KUALA
LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, permuafakatan antara kerajaan,
ulama, cendekiawan Islam dan penulis maya menjadi benteng kukuh dalam
mempertahankan kepentingan dan maruah agama Islam di Malaysia.
Menyedari kepentingan itu, Perdana Menteri berkata, tiga kumpulan
berkenaan perlu lebih peka dan prihatin terhadap perkembangan semasa dan
perubahan dasar kerajaan supaya setiap maklumat dapat disampaikan dengan tepat
dan berkredibiliti.
![](http://www.kosmo.com.my/kosmo/pix/2012/0220/Kosmo/Negara/ne_04.1.jpg)
Beliau berkata, kumpulan itu perlu sentiasa bekerjasama antara
satu sama lain termasuk dengan kerajaan untuk menyaring setiap maklumat dan
menapis segala tuduhan dan fitnah jahat daripada pihak tidak bertanggungjawab
untuk kepentingan tertentu.
"Oleh itu, permuafakatan yang wujud di antara ketiga-tiga
kumpulan ini dan pihak kerajaan akan menjadi benteng pertahanan kepada
kepentingan dan maruah agama Islam," katanya semasa menutup Himpunan
Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012 di sini semalam.
Himpunan kali pertama itu berlangsung selama dua hari yang
bertemakan 'Bermuafakat Mentransformasikan Ummah'.
Najib berkata, penglibatan tiga kumpulan itu amat penting dalam
konteks cabaran semasa seperti melakukan tindak balas membetulkan segala
maklumat mengenai agenda atau dasar kerajaan yang sering diselewengkan atau
sengaja disongsangkan menjadi fitnah untuk tujuan politik.
Katanya, sikap berdiam diri, tidak mahu campur tangan atau malas
untuk bertindak akan memberi kesan sangat buruk kepada umat Islam dan kedudukan
agama Islam itu sendiri.
Perdana Menteri berkata, bidang politik di dalam Islam merupakan
satu jihad yang perlu diutamakan dan tidak dapat dipisahkan daripada perjuangan
untuk menegakkan Islam dan memperjuangkan kepentingan umat Islam.
"Jika politik dilihat menerusi dimensi ini, maka ia satu bidang
yang sangat rapat dengan peranan manusia di muka bumi ini iaitu sebagai
khalifah Allah.
"Justeru, berjihad dalam menyebarkan kebenaran dan menegakkan
syariah Islam hendaklah dimulai dengan niat yang ikhlas dan tidak mengelirukan
pihak yang mendengarnya," tambahnya.
sumber : http://www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment