Pages

Tuesday, 21 February 2012

Berbaris untuk lihat janggut Nabi Muhammad


DHAKA, Bangladesh - Sejumlah penganut Islam berbaris panjang untuk melihat sehelai janggut Nabi Muhammad SAW di Masjid Nasional di sini semalam.
Janggut itu diletakkan di dalam sebuah bekas berkaca semasa ia dipamerkan kepada orang ramai.
Pusat Kebuadayaan Turki meminjamkan bekas yang mengandungi janggut Nabi Muhammad itu untuk dipamerkan kepada orang ramai.
Nabi Muhammad wafat pada tahun 632 Masihi semasa berumur 63 tahun. - Agensi

Monday, 20 February 2012

Stesen radio ditegur guna bahasa rojak


JOHOR BAHRU – Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim meminta 56 buah stesen radio di negara ini termasuk 22 buah stesen radio swasta mengambil peranan dalam menyemarakkan penggunaan bahasa kebangsaan.


Beliau kesal kerana masih banyak stesen radio tidak mengambil berat tentang aspek penggunaan bahasa Melayu dengan betul menyebabkan pendengar terdedah dengan bahasa rojak dan slanga.
“Kita pohon (stesen radio) supaya jangan hanya guna bahasa kebangsaan lantaran didesak atau diarah berbuat demikian.
“Sepatutnya stesen televisyen dan radio termasuk swasta memainkan peranan ulung dalam memajukan bahasa kebangsaan dengan penggunaan yang betul dan menarik kepada pendengar,” katanya.

Skim cepat kaya melalui Internet


SUDAH beberapa kali saya memberi penerangan mengenai skim cepat kaya melalui Internet dan ia juga difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Malah, skim itu juga haram menurut panduan pelaburan Islam digariskan Majlis Ulama Fiqh Sedunia dan Majlis Ulama Indonesia.
Namun masih ada yang bertanya, seolah-olah tidak berpuas hati dan inginkan penjelasan lebih lanjut. Sekali lagi saya akan memperkatakan mengenai skim pelaburan Internet. Sebagai kesimpulan mudah untuk semua tulisan saya sebelum ini, skim pelaburan itu diharamkan kerana sebab berikut: 
 
1. Jahalah (ketidaktahuan) 

Ia bermaksud skim itu tidak diketahui dengan jelas identiti pengurus dana atau syarikat, di samping tiada lesen untuk membuktikan kewujudan mereka dan tanggungjawab mereka terhadap dana yang terkumpul. Mereka juga tidak dapat dihubungi, ditemui atau dilawati. 

Berjual beli dan melabur tanpa mengetahui individu yang mengurus menyebabkan satu daripada syarat sah akad tidak dipenuhi. Ini menyebabkan akad terbatal. 


2. Gharar (ketidaktentuan) 

Tidak diketahui tempoh kewujudan laman web pelaburan itu, juga tidak diketahui sama ada benar-benar si ‘pelabur’ boleh mendapat wang dijanjikan atau tidak pada tempoh disebutkan iaitu 100 hari. Ini kerana, jika wang dijanjikan tidak muncul, tiada sesiapa boleh dihubungi. Ini menjadikannya gharar. Kesannya, sekali lagi ia membatalkan akad. 


3. Riba 

Saya menerangkan secara panjang lebar dalam pelbagai artikel sebelum ini. Justeru, bagi pihak yang berdegil lalu cuba mendakwa ‘fixed deposit’ (deposit tetap) sebagai bukan riba, anda perlu tahu pelaburan ini tetap haram kerana sebab lain yang saya sebutkan di sini. 


4. Penipuan 

Mendakwa menggunakan wang yang terkumpul untuk pelaburan perniagaan minyak dan gas, hartanah, mata wang, komoditi dan lain-lain, sedangkan ia tidak wujud. 

Ini kerana, menurut pakar pelaburan sebenar tiada satu syarikat pun yang jika benar melabur dalam industri itu, mampu menjamin pulangan 240 peratus sebagaimana ditawarkan syarikat pelaburan Internet terbabit. 

Malah, bank konvensional terbesar dunia yang juga mengamalkan riba dan menggunakan kepakaran seluruh pekerja mahirnya dicampur pula dengan aset mencecah trilion ringgit, masih tidak berani dan tidak mampu memberi janji pulangan 240 peratus dalam produk riba mereka seperti deposit tetap. 

Berikut pula maklumat baik untuk dikongsi daripada seorang pakar pelaburan berkenaan ciri penipuan dalam skim cepat kaya Internet. Ia seperti berikut: 


  • Semua ‘skim Ponzi’ akan menggalakkan ‘pelaburnya’ merekrut ‘pelabur’ baru kerana itu cara utama mereka mendapatkan wang baru. (Itu yang kini cuba dilakukan beberapa pihak yang meminta saya melabur di skim ini). Tanpa ‘pelabur’ baru, skim itu akan berkubur dengan cepat. 

  • Pulangan yang dijanjikan adalah 20 peratus (atau lebih) sebulan, yang bermakna 240 peratus setahun. Pelabur bertaraf dunia seperti Warren Buffett dan George Soros pun hanya mampu memberi pulangan riba haram 20 hingga 34 peratus setahun. 

    Adakah masuk akal orang yang tidak pernah dikenali dapat memberi pulangan sebegitu tinggi? Seandainya benar, tentu semua media di dunia, termasuk CNN, Fortune dan Forbes akan memberi liputan menyeluruh kepada pengurus dana pelaburan Internet. 

    Namun, mengapa tidak ada? Tidak mungkin media dunia (yang tahu semua pelaburan lain) begitu buta dan tidak pernah mendengar pulangan sebegitu hebat. 

  • Adakah masuk akal, pelaburan yang baru dibuat dalam tempoh sebulan boleh mendapat pulangan 20 peratus untuk bulan berikutnya? Semua pelaburan, termasuk paling menguntungkan sekalipun, memerlukan masa. 

    Jika benar ‘pengurus’ dana melaburkan wang dalam ‘forex’, ‘hedge funds’ dan sebagainya, pelaburan itu tidak membayar hasilnya selepas satu atau dua bulan. Justeru, jika ‘pengurus’ tidak dapat hasil pulangan, macam mana dia hendak bayar orang lain? Daripada mana datangnya wang itu? 

  • Pengurus dana hanya menyebut ‘forex’, ‘hedge funds’, komoditi dan lain-lain, tetapi tidak menerangkan dengan terperinci pelaburan itu. Sesiapa boleh membuat dakwaan itu kerana ia sekadar ‘cakap mulut’. 

  • Hanya disebabkan pelaburan itu ada di ‘offshore’, tidak bermakna pulangannya akan menggunung. Pelaburan di ‘offshore’ sama saja dengan pelaburan di ‘onshore’ — ‘mutual funds’, ‘unit trusts’, ‘fixed deposit’ dan sebagainya. 

  • Semua pelabur ‘skim Ponzi’ akan berkata “Cuba dulu. Sikit saja. Belum cuba, belum tahu.” Jawapan saya: Kenapa nak cuba jika anda tahu benda itu berbahaya? Kenapa nak cuba jika anda tahu benda itu membawa penyakit? Malah ia juga diharamkan oleh Islam untuk membiarkan diri ditipu. 

  • Alasan lain, anda dikatakan masih mendapat pulangannya kerana wang itu datang daripada pelaburan orang yang baru masuk dalam skim itu. Duit itu dikitar semula. Sebagaimana juga duit anda digunakan untuk membayar peserta sebelum anda. 

    Situasi itu mungkin bertahan satu, dua atau tiga tahun, tetapi yang pasti ia akan berkubur apabila tiada ‘pelabur’ baru. Apabila ia berlaku, anda akan kehilangan semua wang anda. 

    Skim cepat kaya Internet biasanya menjanjikan 20 peratus pulangan dalam sebulan. Ini bersamaan dengan 240 peratus setahun. Justeru, ia memberi gambaran seolah-olah ‘skim pelaburan’ itu lebih hebat daripada seluruh sejarah pulangan terhebat di dunia. 

    Sebagai perbandingan, lihat catatan pulangan pelaburan yang diiktiraf terhebat di dunia dan bandingkan dengan skim cepat kaya yang masih menjadi kegilaan penduduk negara ini. 

    Dapat dilihat dengan jelas pengurus kewangan terhebat itu mampu menawarkan pulangan sekitar 14 hingga 34 peratus setahun. Tiba-tiba skim karut, menipu dan haram ini mendakwa memberi pulangan 240 peratus dalam 100 hari dengan perniagaan yang didakwanya. Jelas, ia satu penipuan. 


    5. Syubhah dan Money Game (permainan wang) 

    Inilah sebenarnya cara mereka mendapatkan wang daripada pelabur, iaitu setiap peserta yang dapat mencari ahli baru akan diberi komisen. Justeru, akad komisen atas kepala dan bukan atas barang yang dijual ini mengandungi syubhah kepada ‘money game’ yang diharamkan oleh Majlis Fatwa Sedunia, termasuk Arab Saudi dan Indonesia. 

    Tidak syak lagi pelaburan itu diharamkan Islam. Segera bertaubat dan jauhinya. Ketika ini, web pelaburan haram itu masih wujud. 

    Hukum haram tetap haram, seperti kilang arak dan judi yang bersepah di sana 
    sini, walaupun ia wujud dan masih dibuka, ia tetap haram tanpa ‘khilaf’.
  • Safee dapat lampu hijau


    SEMANGAT penyerang sensasi Mohd Safee Sali untuk kembali menyarung jersi negara semakin membara selepas dia mendapat lampu hijau kelabnya, Pelita Jaya FC bagi dua aksi persahabatan Harimau Malaya, hujung bulan ini.
    Walaupun hatinya berat untuk meninggalkan tugasnya selaku kapten kelab itu bagi perlawanan menentang menentang Persiwa Wamena 27 Februari ini, namun Safee mengakui tanggung jawabnya bersama skuad kebangsaan tetap menjadi keutamaan.
    “Memang berat untuk saya kerana jadual latihan skuad kebangsaan bertembung dengan satu perlawanan liga Pelita Jaya. Tapi tugasan bersama skuad kebangsaan lebih penting dan saya tidak boleh melupakan tanggung jawab itu,” katanya ketika Arena Metro baru-baru ini.
    Safee dipanggil untuk menyertai latihan skuad latihan skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal semalam bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Sabah pada Jumaat ini di Kota Kinabalu sebelum bertemu Filipina di Manila pada 27 Februari.

    Perlawanan dengan Sabah diadakan sebagai menggantikan aksi antarabangsa menentang Arab Saudi yang dibatalkan sebelum ini.

    Biarpun hanya sekadar beraksi menentang Sabah dan Filipina, Safee yang hanya akan tiba di tanah air esok tidak sabar untuk menyertai latihan bersama 26 pemain lain apatah lagi kali terakhir bersama Harimau Malaya pada November lalu.
    Malah kepulangan pemain bertaraf jutawan itu yang menandatangani kontrak lumayan lebih RM2 juta bersama Pelita Jaya menepis segala spekulasi bahawa dia sudah digantung daripada menyarung jersi kebangsaan kerana beraksi dalam liga haram.

    “Memang rasa rindu sebab sudah lama tidak bersama dengan skuad kebangsaan. Bagi saya ini peluang terbaik untuk menilai kemampuan diri sendiri beraksi bersama skuad kebangsaan. Walaupun ini hanya perlawanan persahabatan, saya tetap teruja dan mahu mengekalkan sentuhan gol,” katanya yang menjadi watak penting ketika membantu Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF 2010.

    Tiga kumpulan jadi benteng agama Islam - PM


    KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, permuafakatan antara kerajaan, ulama, cendekiawan Islam dan penulis maya menjadi benteng kukuh dalam mempertahankan kepentingan dan maruah agama Islam di Malaysia.
    Menyedari kepentingan itu, Perdana Menteri berkata, tiga kumpulan berkenaan perlu lebih peka dan prihatin terhadap perkembangan semasa dan perubahan dasar kerajaan supaya setiap maklumat dapat disampaikan dengan tepat dan berkredibiliti.


    Beliau berkata, kumpulan itu perlu sentiasa bekerjasama antara satu sama lain termasuk dengan kerajaan untuk menyaring setiap maklumat dan menapis segala tuduhan dan fitnah jahat daripada pihak tidak bertanggungjawab untuk kepentingan tertentu.
    "Oleh itu, permuafakatan yang wujud di antara ketiga-tiga kumpulan ini dan pihak kerajaan akan menjadi benteng pertahanan kepada kepentingan dan maruah agama Islam," katanya semasa menutup Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012 di sini semalam.
    Himpunan kali pertama itu berlangsung selama dua hari yang bertemakan 'Bermuafakat Mentransformasikan Ummah'.
    Najib berkata, penglibatan tiga kumpulan itu amat penting dalam konteks cabaran semasa seperti melakukan tindak balas membetulkan segala maklumat mengenai agenda atau dasar kerajaan yang sering diselewengkan atau sengaja disongsangkan menjadi fitnah untuk tujuan politik.
    Katanya, sikap berdiam diri, tidak mahu campur tangan atau malas untuk bertindak akan memberi kesan sangat buruk kepada umat Islam dan kedudukan agama Islam itu sendiri.
    Perdana Menteri berkata, bidang politik di dalam Islam merupakan satu jihad yang perlu diutamakan dan tidak dapat dipisahkan daripada perjuangan untuk menegakkan Islam dan memperjuangkan kepentingan umat Islam.
    "Jika politik dilihat menerusi dimensi ini, maka ia satu bidang yang sangat rapat dengan peranan manusia di muka bumi ini iaitu sebagai khalifah Allah.
    "Justeru, berjihad dalam menyebarkan kebenaran dan menegakkan syariah Islam hendaklah dimulai dengan niat yang ikhlas dan tidak mengelirukan pihak yang mendengarnya," tambahnya.

    KWSP umum dividen 6 peratus

    KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam mengumumkan kadar dividen 6 peratus untuk pencarumnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011, iaitu meningkat berbanding 5.8 peratus pada 2010.
    Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman (gambar) berkata, kadar dividen itu merupakan yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun dengan bayaran sebanyak RM24.47 bilion akan diagihkan kepada pencarumnya berbanding RM21.61 bilion untuk tahun kewangan 2010. Berdasarkan laporan sebelum ini, dividen tertinggi yang pernah diumumkan oleh kumpulan itu ialah sebanyak 8.5 peratus, dibayar kepada pencarum pada tahun 1983 sehingga 1987. Samsudin berkata, tahun 2011 menandakan satu lagi pencapaian baik KWSP walaupun menghadapi persekitaran pelaburan yang mencabar dengan memperoleh pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM27.24 bilion iaitu meningkat 13.18 peratus daripada 2010. "Ia merupakan prestasi terbaik sejak tahun 2001 hasil strategi pelaburan jangka panjang dan berhemah KWSP serta usaha berterusan pasukan pelaburannya," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.